~ Mom's Journal ~
Hampir 50 tahun kami meninggalkan bandar kecil Kuala Lipis. Sewaktu kami membesar pada tahun 1960-an dan 1970-an, bandar ini belum cukup besar untuk memerlukan lampu isyarat di jalan. Kenderaan tidak banyak pada masa itu.
Masa itu di Bandar Lama Lipis terdapat deretan kedai, pasar besar, pejabat pos, stesen keretapi, stesen bas dan teksi dan sebuah pawagam. Di hujung jalan selepas deretan kedai itu terdapat sebuah Balai Polis dan Balai Bomba (kedua-dua balai tersebut kini telah dipindahkan ke lokasi yang baharu). Terdapat juga sebuah Masjid lama yang dibina ditebing Sungai Jelai pada tahun 1888. Jika kita memandang keatas pada deretan kedai-kedai Bandar Lama Lipis, akan kelihatan tarikh bangunan tersebut dibina— iaitu 1920-an. Selepas tahun 2000, apabila kami pulang dan melihat tempat kami dilahirkan, landskap sudah berubah, dan ia sudah semestinya.
Baru-baru ini kami pulang ke Kuala Lipis melalui Central Spine Road. Ini bermakna kami tidak lagi berpeluang untuk berhenti di bandar-bandar seperti Bentong, Raub dan Benta. Kalau dahulunya, kami akan berhenti di Bentong untuk berehat dan mengopi. Ada kalanya kami berhenti di Rumah Rehat Raub untuk mengeteh sambil melihat gambar-gambar lama yang tergantung di dindingnya. Di Benta pula, kalau melalui Jambatan Benta, kita akan dapat melihat air sungai yang deras dan dalam.
Gambar-gambar berikut mungkin kurang jelas kerana diambil dari dalam kereta untuk melihat sekilas pandang. Ada juga diambil sewaktu kami turun dari kereta untuk melihat dan cuba mengingati kawasan persekitaran yang wujud ketika kami masih kecil.
Perjalanan bermula.
Jika kita melihat kepada kereta putih yang menghala ke jalan naik ke Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang lama itu, di sebelah jalan tersebut ialah jalan ke Clifford School. Dahulunya terdapat sebuah kedai kecil di tepi jalan tersebut. Kami panggil kedai itu “Kedai Dekat”, kini kedai itu sudah tiada.
Di sebelah Food Court terdapat tangga untuk naik ke Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang lama, nampaknya dalam proses pembaikpulihan.
Kami meneruskan perjalanan dan berhenti di lampu isyarat menuju ke Bandar Lama Lipis dan Bandar Baru Lipis, kelihatan bangunan kedai di bina di lokasi yang dahulunya adalah Paradise Theatre.
Seterusnya kami keluar ke jalan menghala ke Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis, kemudian melalui kawasan perumahan di Sungai Kerpan, hinggalah tiba ke Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim.
Ini adalah bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim bagi menampung pertambahan pelajar. Bangunan sekolah yang asal dan masih digunakan terletak di atas bukit.
Kemudian kami melalui Jalan Tok Kaya Sentul, dahulunya Worthington Road (1960-an), kelihatan Kuarters Kakitangan Kerajaan yang masih elok terpelihara dan didiami.
Dari Jalan Tok Kaya Sentul kami pusing balik menuju ke Bandar Lipis.
Ibu Pejabat Polis (Foto dari Facebook Balai Polis Lipis).
Seingat saya lokasi yang di bina Ibu Pejabat Polis ini dahulunya adalah tanah lapang dan di kawasan ini juga ada stor JKR, Christian cemetery dan di seberang jalannya pula kawasan rumah Tun Ghazali Shafie.
Kini, di seberang jalan Ibu Pejabat Polis sudah terdapat Pusat Perniagaan Bukit Residen (PPBR), tempat yang tidak pernah kami lawati sebelum ini.
Rest House juga memerlukan pembaikpulihan. Jika ingin melihat gambar Rest House yang berada dalam keadaan baik, bolehlah membuat carian di internet.
Di laman Rest House terdapat maklumat berkaitan dengan sejarah Rest House.
Pemandangan dari Pusat Perniagaan Bukit Residen, kelihatan Rest House Bukit Residen di atas bukit.
Setelah habis pusing-pusing Kuala Lipis maka tibalah masa untuk balik ke Kuala Lumpur.
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga melihat perubahan yang berlaku kepada kawasan rumah yang pernah kami diami. Terima kasih kepada Google Maps kerana mengambil gambar-gambar pembangunan ini:
Rumah yang kami diami pada tahun 1960-an di alamat No. 91, Residency Hill; sudah tiada.
Gambar ini pada tahun 2014. Ini adalah jalan keluar dari kawasan perumahan Bukit Residen menuju ke Pejabat Majlis Bandaran (kini Food Court De Residen) dan ke Bandar Lipis.
Gambar ini pada tahun 2018. Jika kita melihat kepada kereta hitam yang keluar dari jalan tersebut, dahulunya jalan ini adalah jalan masuk dan keluar ke kawasan perumahan di Bukit Residen dan juga ke Rest House Bukit Residen. Setelah kawasan perumahan Bukit Residen dan kawasan sekitarnya diratakan, kawasan ini sekarang menjadi sebuah Pusat Perniagaan dikenali sebagai Pusat Perniagaan Bukit Residen. Rest House Bukit Residen masih ada.
Melihat kepada pembangunan ini, saya teringat pada tahun 2001 kami pernah menyambut Hari Raya di Kuala Lipis. Pada masa itu terdapat sebuah Taman Rekreasi yang mempunyai buaian, jongkang jongkit dan sebagainya. Di lokasi ini dahulunya terdapat rumah-rumah pegawai kerajaan dan diantaranya ada pegawai yang berkerja di Majlis Bandaran Kuala Lipis, sepelaung sahaja jaraknya dari rumah 😀
Gambar ini pula pada tahun 2018. Pusat Perniagaan Bukit Residen sudah siap dibina. Kawasan perumahan kakitangan di Bukit Residen sudah tidak kelihatan lagi.
Bye bye Rumah No.91, tempat kami membesar semasa kami di sekolah rendah. 👋